PhDPreneur

Laluan Pantas Ke Dunia Keusahawanan Teknologi

Pengenalan PHDPRENEUR

Program PhDPreneur adalah projek rintis oleh Unit Pengurusan Penyelidikan, Bahagian Industri Pembuatan, Sains dan Teknologi, Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Malaysian Technology Development Corporation (MTDC). Program PhDPreneur bertujuan untuk melatih para graduan dan bakal graduan PhD dengan kemahiran berkaitan pengkomersialan hasil penyelidikan dan keusahawanan, sekali gus meningkatkan kadar pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan tempatan. Melalui program ini, calon dalam kalangan graduan atau bakal graduan PhD akan disaring bagi mengenal pasti kelayakan untuk menyertai program ini. 25 peserta akan disenarai pendek untuk menyertai latihan pengkomersialan dan keusahawanan teknologi dan seterusnya 10 peserta akan dipilih untuk menubuhkan syarikat pemula (startup) bagi menkomersialkan hasil penyelidikan PhD masing-masing.

Setiap syarikat pemula yang ditubuhkan layak mendapat bantuan baucar sehingga RM500,000 bagi setiap syarikat bagi tujuan peningkatan skala teknologi, pembangunan prototaip komersial, pengesahan teknologi dan pasaran serta kolaborasi dan ujian lapangan bersama-sama industri.

Objektif Program

  1. Untuk menambah bilangan usahawan dalam kalangan graduan PhD dengan kemahiran dan keupayaan pengkomersialan;
  2. Untuk menambah bilangan syarikat pemula berasaskan teknologi; dan
  3. Untuk memperkasakan graduan PhD bagi pengkomersialan hasil penyelidikan yang berpotensi.

Syarat Kelayakan

  1. Warganegara Malaysia berumur 40 tahun dan ke bawah pada 1 Januari 2024;
  2. Merupakan graduan PhD atau calon PhD di tahun akhir, dari universiti awam atau universiti swasta tempatan;
  3. Sekiranya merupakan Graduan PhD, peserta perlu berada dalam tempoh tidak lebih daripada dua (2) tahun daripada tarikh bergraduasi. Sekiranya melebih dua (2) tahun, peserta perlu menunjukkan bukti sokongan yang menunjukkan projek PhD peserta masih relevan dan mempunyai potensi pengkomersialan yang tinggi;
  4. Tidak bekerja penuh masa sepanjang tempoh pelaksanaan program;
  5. Tidak pernah menerima sebarang dana dengan skop atau tujuan yang sama dengan program PhDPreneur;
  6. Projek di tahap TRL 4-8;
  7. Projek atau produk dengan potensi teknologi dan pasaran yang baik (dinilai oleh penganalisis MTDC);
  8. Perlu memiliki sifat, potensi dan minat terhadap keusahawanan; dan
  9. Boleh memberikan komitmen penuh sepanjang pelaksanaan program (dikehendaki menandatangani surat tawaran yang mengandungi terma dan syarat yang wajib dipatuhi.

PELAKSANAAN PROGRAM

  • Fasa I – Saringan dan Pemilihan: Permohonan dalam talian. Calon yang layak, akan dijemput untuk membuat pembentangan (sesi pitching) kepada panel penilai;
  • Fasa II – Commercialisation Bootcamp: 25 peserta terpilih dari Fasa I akan menjalani latihan intensif selama 5 hari dalam bidang pengkomersialan teknologi;
  • Fasa III – Pembangunan Value Proposition Canvas (VPC) dan Business Model Canvas (BMC): Selama tempoh 2 bulan, peserta akan membangunkan VPC dan BMC bagi projek masing-masing dan akan dapat khidmat nasihat dan ‘coaching’ daripada mentor;
  • Fasa IV – Demo Day: 25 peserta akan membuat pitching semasa Demo Day kepada panel yang terdiri daripada wakil dari pihak pelabur dan pihak industri. 10 peserta akan terpilih untuk ke fasa seterusnya;
  • Fasa V – Penubuhan Syarikat Startup: Setiap peserta akan dibimbing untuk menubuhkan syarikat pemula; dan
  • Fasa VI – Scale Up dan Kolaborasi: Setiap peserta akan menjalankan proses technology scale up serta kolaborasi dengan pihak industri selama 12 bulan.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi :

Sekretariat Program